Assalamualaikum dan selamat datang ke blog saya. sila klik senarai kandungan dibawah untuk isi kandungan.. :)

Thursday, April 17, 2008

Kerajaan setuju tingkat had umur bersara




Oleh HAMDEN RAMLI

PUTRAJAYA 17 April - Kerajaan bersetuju memenuhi lima daripada enam permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang dikemukakan bagi meningkatkan kebajikan 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, lima tuntutan yang diterima itu adalah berkaitan kadar pencen, lanjutan umur persaraan, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal dan penambahan elaun perumahan.

Bagaimanapun, kata beliau, tuntutan CUEPACS supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000 tidak dapat diterima kerajaan.

‘‘Kami gembira dan puas hati dengan pertemuan hari ini. Tolak honorarium sahaja, yang lain kami dapat. Butiran lanjut mengenai lima tuntutan yang dipenuhi itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri sedikit masa lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau yang mengetuai sembilan pegawai kanan CUEPACS mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan enam tuntutan kongres itu di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Pertemuan selama 45 minit itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

CUEPACS sebelum ini mengancam akan memboikot sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini jika kerajaan enggan memenuhi enam tuntutan yang telah dikemukakan oleh kongres itu sejak tiga tahun lalu.

Enam tuntutan tersebut ialah pemberian honorarium RM2,000 kepada kakitangan awam, pemberian kadar pencen mengikut perkhidmatan, lanjutan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 tahun, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal dan penambahan elaun perumahan kepada RM230 berbanding RM180 hari ini.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA 18 april 2008



ha3.. nampaknye smakin ramailah org mude2 menganggur...